Suami yang dia sayang pergi untuk selama-lamanya dalam sekelip mata. Riani sedih. Hatinya menangis meratapi sebuah kehilangan. Namun, tangisannya direnggut dengan kejam oleh kenyataan yang terlalu memedihkan.
"Saya Alia. Isteri muda arwah Hakimi."-Alia
Riani terduduk. Selama ini dia sangkakan hanya dia seorang yang berada di dalam hati suaminya. Hanya dia yang Hakimi cinta. Rupanya-rupanya, cinta suaminya berbagi dua. Dia berkongsi suami dengan perempuan lain tanpa pengetahuannya. Dia dimadukan dalam diam.
Hilang pilu, yang tinggal hanya rasa kecewa serta terkilan semata-mata.
"Saya rasa kosong. Seolah-olah jiwa saya dah mati sekali dengan arwah.”-Riani
“Yang kosong tu lambat laun akan terisi juga. Awak kena sabar.”-Hud Qaiser
Belum reda rasa sakit yang ditanggung, Riani berdepan pula dengan satu lagi kenyataan yang hampir buat dia rebah menyembah bumi.
"Mama nak Ria jadi menantu mama untuk sekali lagi. Kahwin dengan along. Jadi isteri dia."-Datin Mariam
"Tak mungkin mama. Along dah ada pilihan hatinya sendiri. Jangan musnahkan masa depan dia hanya kerana Ria."-Riani
Riani menolak, Qaiser membantah. Namun ‘nyawa’ Datin Mariam lebih berharga dari segala-galanya. Mereka akur dalam terpaksa.
"Dah jadi isteri saya, awak hanya ada dua pilihan. Bersedia untuk saya lepaskan awak bila kekasih hati saya dah kembali... atau awak kena reda untuk hidup bermadu."-Hud Qaiser
Dua pilihan yang telah membunuh jiwa Riani. Dia sabar melayan kedinginan suami. Dia bertahan hanya kerana mama mentua yang sayangkan dia. Juga kerana rasa yang mula hadir dalam dirinya.
Riani keliru. Dalam dingin, ada juga sisi lain yang Qaiser tonjolkan. Romantis, sweet dalam diam serta terlalu mengambil berat. Kata tak sayang, tapi CEMBURU itu nyata.
Hingga saat itu muncul... Riani terpaksa juga memilih.
“Terima kasih untuk segala-galanya.”-Riani
“Maafkan saya, Ria. Maafkan semua kebodohan saya.”-Hud Qaiser
